Guestbook | Forums | Calendar | Members | Site map | Login |
PERKHIDMATAN

RUMAH SAHABAT SIDIM (RSS)

Saban hari berlaku peningkatan pencemaran moral remaja yang kekadang mengerikan. Cerita-cerita remaja bersekedudukan, hamil anak luar nikah, lari dari rumah, minum arak, hisap dadah, terlibat kongsi gelap, melacur, dan sebagainya bagaikan tak berkesudahan. Remaja yang terjebak menghabiskan hidup dengan sia-sia persis haiwan tak berakal. Dunia kotor menjadi sebati sampai ke dalam jiwa. Akhirnya tak ubah laksana bangkai bernyawa.

 

Menyedari kecelakaan remaja yang menghidap penyakit sosial boleh merenggut iman yang ada, menjahanamkan maruah agama, dan memalukan keluarga, maka langkah-langkah berkesan perlu diketengahkan dan bukan lagi dibahas dan dibincangkan. Justeru Rumah Sahabat SIDIM Bukit Beruntung diusahakan dengan kudrat yang ada demi melihat calar-calar moral remaja ini dibersihkan, digilap, dan dicanai sebaik mungkin dengan nur agama menjadi insan yang berhamba disisiNya.

 

Rumah kebajikan telah beroperasi 3 tahun. Bermula di Gombak dan kini di Bukit Beruntung. Faktor kesesuaian, fasiliti, dan keselamatan menjadi isu utama perpindahan ini demi melihat keselesaan penghuninya untuk dididik dalam suasana yang tenteram, aman, dan damai. Penghuninya silih berganti, yang datang berjaya dipulihkan dan kembali ke pangkuan keluarga untuk memulakan hidup baru dengan menjauhi perkara lalu. AlhamdulilLah rumah ini telah berjaya memulihkan hampir 280 orang remaja. Remaja ini terdiri daripada penagih dadah, black metal, skin head, murtad, kongsi gelap, kes bunuh, mencuri, sakit jiwa, dan sebagainya.

 

Kejayaan memulihkan remaja sebegini kembali bertaubat dan rasa berTuhan mendorong pihak kami melihat keupayaan rumah ini dengan lebih besar lagi ke arah menyelamatkan para remaja terlanjur yang ingin kembali ke pangkal jalan. Hasrat suci ini menjadi agak lembab disebabkan kekangan kewangan dan aset lain yang diperlukan. Maka menjadi harapan kepada insan-insan yang sudi menghulurkan bantuan menyahut agenda perjuangan menyelamatkan umat Islam kini terutamanya remaja yang bakal menjadi tonggak kekuatan negara pada masa mendatang.